Carnivorous Plant

Thursday, October 19, 2006

My Project-Nepenthes


Tumbuhan Periuk kera atau nama saintifiknya Nepenthes merupakan tumbuhan yang unik kerana mempunyai ‘pitcher’ (periuk kera) dan satu-satunya genus dalam famili Nepenthaceae. Nepenthes adalah tumbuhan yang unik mengandungi sebanyak 82 spesies yang tersebar di seluruh dunia meliputi kawasan tropika seperti Madagascar, Pulau Seychelles, Sri Lanka, India, China, Kepulauan New Guinea, Australia , New Celedonia, Semenanjing Malaysia, Filiphina, Celebes, Jawa dan Sumatera. Hampir separuh daripada spesies dunia dijumpai di kawasan tanah rendah dan pergunungan kepulauan Borneo hingga mencapai ketinggian 3000 m daripada aras laut. Nepenthes adalah sejenis tumbuhan karnivor yang memerangkap dan memakan haiwan dan hidupan kecil yang hidup secara perennial di kawasan tanah yang kurang nutrien seperti Hutan Kerengas. Bahagian yang dipanggil periuk merupakan hujung urat daun pokok ini yang terubahsuai membentuk corong kecil yang dinamakan periuk . Pada bahagian ini terdapat peristom (bibir) dan dinding dalam yang licin untuk memerangkap mangsanya, di mana mangsa seperti semut akan tertarik kepada kelenjar madu yang terdapat di bawah peristom dan akan tergelincir masuk kedalam periuk di mana terdapatnya kelenjar penghadaman yang mengandungi enzim penghadam.



Kajian yang akan dilakukan oleh saya adalah mengenai Kajian Sistematik dan Ekologi Nepenthes di Padang Tujuh, Taman Negeri Endau Rompin, Pahang. Kajian ini adalah sebahagian daripada keperluan pengajian saya dalam Sistematik tumbuhan. Penyelia saya, Prof Madya Dr Jumaat Hj Adam, akan memantau segala kerja-kerja yang dilakukan. Kajian ini berhasrat untuk menyediakan data mengenai spesies Nepenthes di kawasan kajian melalui morfologi, anatomi perbandingan, mikroskopi imbasan cahaya (SEM). Daripada sudut ekologi pula, kepadatan dan hubungkait spesies Nepenthes dengan sifat fizik-kimia tanah dikawasan kajian akan ditentukan.
Rujukan :

Clarke, C. M. 2002. A guide to the pitcher plants of Peninsular Malaysia.Natural History Publication (Borneo), Kota Kinabalu.

Shivas, R. G. 1984. Pitcher plants of Peninsula Malaysia & Singapore.Maruzen Asia.Singapore.

About me


Di sini akan diceritakan serba sedikit tentang diri saya. Nama penuh saya adalah Nur Maisarah bt Jantan. Nama panggilan adalah Mai ataupun Sarah. Saya dilahirkan di Kuala Lumpur dan sekarang tinggal di Taman Melur, Ampang Selangor. Pada 16 Ogos 1984 adalah merupakan tarikh lahir saya. Saya tinggal bersama keluarga tersayang di Ampang bersama kedua ibu bapa saya. Saya merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik.Saya mendapat pendidikan awal di Sek. Ren. Keb Taman Tasik dan Sek. Men. Keb Taman Tasik daripada tahun 1991-2001. Di sekolah saya menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar biasa belajar, mengikuti aktiviti sekolah dan juga berkawan dengan ramai orang. Selepas itu saya ditawarkan untuk ke Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan di Kolej Teknologi Timur, Sepang pada tahun 2002. Di matrikulasi baru saya mengenali dunia asrama kerana sebelum ini saya hanya belajar di sekolah yang bedekatan dengan rumah. Di Matrikulasi walaupun saingan untuk belajar di sana sengit, saya tetap menimba berbagai pengalaman baik yang manis atau yang pahit.

Setelah tamat matrikulasi saya telah berjaya untuk melenjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dalam bidang Biologi yang merupakan salah satu bidang yang saya gemari. Selama tiga tahun saya bergelar mahasiswa UKM dan menuntut ilmu disini. Saya baru sahaja menamatkan pengajian dan menerima ijazah sarjana muda kepujian Biologi pada bulan Ogos 2006. Tesis sarjana muda saya aadlah berkenaan Ekologi, iaitu Komposisi, Kepelbagaian dan Biojisim Hutan Simpan Bukit Belata , Selangor. Setelah tamat ijazah sarjana muda, saya berminat untuk melanjutkan pengajian dalan Sarjan Sistematik Tumbuhan dan sekarang saya telah mendapat satu projek penyelidikan yang menarik iaitu Sistematik dan Ekologi Periuk Kera di Padang Tujuh, Taman Negeri Endau Rompin.
Sekarang saya masih lagi mengikuti kuliah dan dalam proses menyiapkan projek penyelidikan saya. Saya berharap dapat menimba ilmu pengetahuan dan mendalami. bidang sistematik tumbuhan ini dengan lebih lanjut.